Pada 30 Mac 2017 (Jumaat), dua orang pensyarah IPGKTHO telah menyertai rombongan Lawatan Sambil Belajar Amalan Pedagogi "Flipped Classroom" anjuran Panitia Bahasa Cina (Sekolah Menengah) PPD Batu Pahat ke Sekolah Menengah Tinggi Chung Hua, Seremban, Negeri Sembilan. Rombongan ini terdiri daripada 43 orang peserta, termasuk seorang pegawai PPD Batu Pahat, 40 orang Ketua Panitia Bahasa Cina dan guru Bahasa Cina Sekolah-sekolah Menengah Jenis Kebangsaan di Daerah Batu Pahat serta dua orang pensyarah IPGKTHO.
Guru akan membuat perancangan Pengajaran dan Pembelajaran dengan menyediakan tugasan pembelajaran yang bermula dengan pernyataan masalah authentik dan menyediakan soalan-soalan pemahaman yang membantu pelajar memahami inti pati petikan bahan rujukan dan teks. Soalan-soalan ini merangkumi kesemua enam aras kesukaran dalam Taksonomi Bloom.
- Sesi pembelajaran kendiri bahan yang disediakan oleh guru
- Sesi perbincangan kumpulan dengan tujuan memupuk kemahiran interaksi sosial, berunding bagi pengesahan fakta dan mencapai kata sepakat semasa membuat rumusan secara kolektif
- Pembentangan hasil perbincangan oleh wakil kumpulan
- Rumusan yang dibuat oleh guru bersama pelajar
Ia mengutamakan sistem pemberian mata atas pencapaian kumpulan dan individu bagi mengeratkan hubungan antara ahli kumpulan serta memotivasikan individu dan kumpulan untuk mengumpul mata bagi membuktikan kejayaan pembelajaran dalam pelbagai aktiviti pembelajaran.
Pedagogi "Flipped Classroom" versi Taiwan ini telah dibawa masuk oleh Dr. Nah Che Tong, guru Sains di Sekolah Tinggi Chung Hwa, Seremban dan menyediakan kemudahan sesi pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran dalam bilik darjah yang terbuka di sekolah beliau bagi membenarkan pendidik yang berminat memerhatikan pelaksanaan pedagogi tersebut. Beliau juga menerima jemputan ke sekolah-sekolah lain untuk berkongsi maklumat dan membuat tunjukcara pedagogi ini dengan menggunakan pelajar di sekolah tuan rumah.
Ketika rombongan Batu Pahat berada di sini, Dr. Nah telah membuat demo mengajar Bahasa Cina menggunakan pedagogi "Flipped Classroom", disusuli dengan sesi soal-jawab dan perkongsian maklumat teknik pembentukan kumpulan untuk tujuan kolobaratif oleh En Tai. Cik Yee pula berkongsi maklumat tentang kaedah pengiraan skor dan mata pelajar yang menarik. En. Chan, selaku Ketua Panitia pula menerangkan bagaimana mengintegrasikan aktiviti ko-kurikulum bagi memperkasakan lagi pembelajaran bahasa serta penerapan nilai-nilai murni dan amalan budaya. Pihak sekolah juga telah memperkenalkan aspek kurikulum dan maklumat tentang pengurusan dan pentadbiran kurikulum sekolah tersebut.
Wakil daripada rombongan lawatan juga berkesempatan bertukar pemikiran tentang pengajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah menengah kebangsaan dalam aspek pembelajaran Bahasa Cina.
Para peserta rombongan juga melawat Muzium Sejarah Pembangunan Sekolah yang dipandu oleh wakil pelajar yang dilatih khas sebagai Embassador sekolah tersebut.
No comments:
Post a Comment