-->

Menu2

ImageSlider5

Peneraju Pedagogi Pembentuk pendidik berwibawa Membantu dan membimbing ke arah kejayaan Mendidik tunas bestari Inovasi digital dalam PdP Menghasilkan pendidik bertaraf dunia

Berita Terkini

Sunday 25 September 2016

Mengapa Guru Perlu Menulis..


Membaca dan menulis telah termaktub pada wahyu pertama  yang diturunkan kepada Nabi kita Muhamamd SAW di dalam firman Allah SWT melalui surah al-Alaq. Sehingga perkataan ”iqra” (Bacalah!) diulang sebanyak 3 kali oleh malaikat Jibrail kepada Rasulullah ketika menyampaikan wahyu tersebut. Ini menunjukkan bahawa pentingnya kita membaca dan menuntut ilmu. Malah ilmu yang dituntut pula walaupun sedikit hendaklah disebarkan kepada orang lain Seperti mana sabda Nabi ” berpesan-pesanlah kamu ke arah kebaikan”dan manfaatkanlah ilmu yang kita dapat itu bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi kepada orang lain juga.

 

Mata pena lebih tajam  daripada mata pedang. Warga guru mempunyai banyak ilmu dan kemahiran yang dikutip di sepanjang perjalanan masa mengajar di sekolah dan seharusnya ilmu dan pengalaman ini patut disebarluaskan kepada orang lain Justru itu satu cara yang patut warga guru fikirkan adalah dengan cara kita menulis. Pelbagai bentuk bahan penulisan boleh dihasilkan seperti penulisan berbentuk artikel, jurnal, berita, sisipan nota, buku ilmiah, buku kerja, kajian tindakan, refleksi dan melalui pelbagai medium lain. Dengan cara ini, kita dapat membantu orang lain dan generasi yang akan datang.   

 

Kata orang, berterima kasihlah pada pengalaman kerana ia mengajar kita erti kedewasaan.  Datanglah seribu kali masalah dan tekanan, ia pasti membuat kita lebih matang.  Oleh kerana itu, tahun yang datang silih berganti seiring dengan peningkatan usia , maka  semakin bertambahlah pengalaman serta kemahiran dalam  penyelesaian pelbagai masalah.  Begitu jugalah dengan kitaran hayat seorang guru, guru lama umpama barang antik yang bertambah nilainya.  Kemahiran mengurus pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah banyak tersirat dari yang tersurat terutama dalam menyelesaikan masalah tingkah laku bermasalah murid dan menyusun persekitaran fizikal bilik darjah supaya  ia lebih kondusif serta boleh merangsang pembelajaran murid secara berterusan.  Jerit perih guru hanya guru yang tahu.  Lantaran itu, pengalaman bermakna dan berharga ini sepatutnya kita boleh kongsi bersama dengan guru lain. 

 

 Selain perkongsian ilmu, belajar dari pengalaman guru lain dapat memotivasikan rakan guru lain yang mengalami masalah yang sama.  Walaupun profesyen guru ini jelas iaitu kepentingan utamanya mengajar murid tetapi cabaran yang diterima setiap orang guru berbeza mengikut lokasi sekolah.  Sekolah bandar dan sekolah luar bandar akan ditadbir dengan cara berbeza disebabkan latar belakang pelajar tetapi masih mendokong matlamat yang sama.  Dengan cara perkongsian pengalaman yang dibukukan atau ditulis di majalah akan dapat membantu guru baru yang mungkin menghadapi masalah menyesuaikan diri dengan dua keadaan yang berbeza ini. Rakan guru yang lama dan berpengalaman luas dalam dunia pendidikan perlu aktif menulis dengan menyulamkan penerapan nilai dan motivasi supaya akhirnya tidak ada masalah guru dua tahun di sekolah pedalaman. Masalah guru yang asyik bertukar sudah tentu memberi kesan kepada pelajar yang ditinggalkan.  Oleh kerana itu bantulah mereka dengan memberi semangat melalui penulisan buku motivasi guru.

 

Saya membaca buku pengalaman seorang pesara guru yang mengajar zaman dahulu iaitu Hj Zainal b Haji Bujang dalam bukunya ”Guru Bestari Pelajar Jauhari”.  Melalui pembacaan bahan buku tersebut saya sungguh bersemangat untuk mengajar dengan lebih baik lagi kerana apa yang dipaparkan dari buku tersebut sungguh mengesankan hati saya.  Beberapa saranan yang dikemukakan amat membantu saya mencari cara pendekatan pengajaran yang fleksibel, menarik dan sentiasa mementingkan hasil pembelajaran murid tercapai disamping keutuhan diri sebagai model yang boleh dicontohi oleh pelajar.  Ia membantu saya dalam mengenali potensi diri ke arah penjenamaan guru bestari yang menjalankan tanggungjawab mendidik  dan membimbing pelajar supaya berilmu dan sudah tentu mementingkan juga pembinaan kendiri pelajar yang lebih kukuh demi membina negara yang berwawasan.

 

Pegangan kita sebagai pendidik tidak lari dari tiga prinsip iaitu ketinggian ilmu, mempelbagaikan kemahiran  serta jiwa guru sejati.  Jiwa guru yang sejati sukar untuk ditafsirkan kerana ia memperlihatkan gaya dan penampilan diri yang menjadi role model pelajar ke arah pembentukan sahsiah dan akhlak yang baik.  Kemahiran memperlihatkan cara berkesan menangani masalah dan strategi pengajaran dan pembelajaran.  Pengembangan ilmu perlu berterusan dan sezaman.  Dengan kata lain guru mengajar dan belajar. Dengan ini kita warga guru perlu menulis supaya kita dapat membantu rakan kita yang lain menambah ilmu  dari tiga aspek yang dinyatakan tadi. 

 

Guru tidak perlu kedekut ilmu.  Ilmu tidak mungkin berkurang tetapi ia sentiasa bertambah.  Perkongsian ilmu dan kemahiran walaupun telah tercurah habis di mata pena dari segi  penerimaan dan pengaplikasian bahan itu oleh pembaca akan berlainan kerana ia mengikut kemampuan individu masing-masing.  Sekurang-kurangnya ia membantu mendapatkan konsep asas bagi penyelesaian masalah itu sudah memadai.

 

Orang kata guru orang yang berilmu.  Bagaimana ia dapat dibuktikan adalah dengan bahan penulisan yang kita tulis dan mungkin ini menjadi satu khazanah yang boleh diperturunkan walaupun  kita telah tiada di muka bumi ini.  Nilai diri kita ialah pengalaman mengajar yang diceduk setiap hari.  Kemungkinan ini yang kita tidak sedari. Menghadapi pelbagai kerenah dan ragam murid dengan mengaplikasikan pelbagai kaedah dan pendekatan pengajaran dan pembelajaran secara cuba jaya kadang-kadang membuahkan hasil. Oleh kerana itu, ia boleh dijadikan satu bahan kajian tindakan.   Apa yang perlu kita lakukan adalah jadikan ia sebagai satu bahan dokumentasi dan diterjemahkan dalam bentuk penulisan. 

 

Di peringkat awal kanak-kanak, pengajaran lebih menumpukan kepada psikologi
(mengkaji tingkah laku murid) berbanding isi kandungan (sukatan pelajaran).  Kemahiran 3M merupakan senjata bagi murid untuk ke sekolah.  Di peringkat prasekolah contohnya, untuk mengajar 3M, guru perlu mengkaji psikologi murid-muridnya terlebih dahulu sebelum memulakan sesi pengajaran terutama dari segi kesediaan menerima pembelajaran, keperluan emosi dan fizikal yang stabil, penumpuan, minat dan sudah tentu memikirkan cara penyesuaian dari aspek kaedah dan pendekatan pengajaran dengan jiwa murid.  Setiap murid berlainan cara dan kaedah yang perlu diterapkan walaupun tujuan kita sama iaitu hanya untuk mengajar kemahiran 3M.  Kita sangat mengalu-alukan sekiranya terdapat dalam kalangan kita yang boleh mencipta satu kaedah yang berkesan dan ia dibukukan sebagai satu bahan atau alat untuk mengajar murid atau setidak-tidaknya membantu kalangan ibu bapa yang boleh mengajar membaca sendiri di rumah.  Walaupun kini kita dapati  pelbagai kaedah mengajar membaca tumbuh bak cendawan yang melata selepas hujan di pasaran, ia masih belum cukup dikatakan sebagai satu kaedah yang terbaik dan terbukti keberkesananya untuk semua murid.

 

Penulisan berbentuk buku ilmiah, modul atau buku kerja yang ada di pasaran ada sebahagiannya bukan hasil penulisan guru.  Dengan itu, kita melihat dari segi penyusunan topik dan isi kandungan agak bercelaru dan tidak mengikut tahap dan keperluan pelajar.  Sesiapa sahaja boleh menulis tetapi bila si penulis bukan kalangan yang pakar dalam bidangnya maka banyak sumbangnya.  Justru itu adalah sangat diharapkan dari kalangan guru dapat menyahut cabaran supaya ada kesanggupan untuk meluangkan masa untuk menulis. Harapan kita untuk masa depan supaya tidak ada lagi pengajaran yang songsang  dan tidak selaras dengan situasi sebenarnya di sekolah. 

 

Menulis memerlukan masa dan tenaga seiring dengan ilmu dan daya kreativiti.  Maka dengan itu, ramai diantara kita payah untuk mengorak langkah ke arah itu.  Pada pendapat saya, cubalah dengan satu hasil penulisan. Maka ia akan mendorong kita terus menulis kerana dengan yang pertama itu akan timbul satu kepuasan dan kejayaan yang sukar kita gapai.  Semangat yang tinggi dan usaha berterusan dalam menghasilkan karya akan datang dengan sendirinya.  Menulis dengan sendirinya juga akan mengasuh kita mendisiplinkan diri dari segi pengurusan masa.  Menulis kekadang bukan hanya apa yang fikir, ia perlu disejagatkan.  Lantaran itu, ia mengajar kita pula supaya lebih banyak membaca.  Ilham dan idea harus dikesinambungkan dengan bahan rujukan lain supaya ia boleh diterima oleh pembaca.  Secara tidak langsung, kita akan terus terbimbing untuk mencari seberapa banyak ilmu pengetahuan dari pelbagai sumber.  Jadikan usaha tenaga ita sebagai satu amalan berbentuk sedekah kerana walaupun guru seperti kita tidak ada harta untuk disedekahkan, bersedekahlah dengan ilmu yang kita ada. 

 

 

 

_______________

Sebagai orang yang dah agak lama mengajar, motivasi kerja saya ada pasang surutnya.  Biasanya saya mengharapkan kata semangat dari rakan atau pembacaan dari buku-buku motivasi untuk sentiasa menjaga semangat saya supaya tidak luntur. Oleh itu, saya sangat mengharapkan rakan guru supaya boleh menghasilkan karya yang berbentuk cerita pengalaman semasa bertugas terutama dalam menangani masalah tingkah laku pelajar supaya menjadi pedoman untuk saya.  Selain daripada tu, saya juga kadang-kadang ketandusan idea untuk mencari strategi berkesan terutama perancangan dan pengelolaan aktiviti yang lebih menarik minat  dan meransang pelajar saya untuk mengekalkan minat mereka untuk belajar.  Oleh kerana itu, rakan guru yang berkebolehan untuk menulis, tulislah apa –apa bahan penulisan yang boleh membantu saya mengatasi masalah ini.

No comments: